Ramadhan datang dan pergi.. Ada saatnya beberapa kali Ramadhan meninggalkan kesan yang memilukan. Kehilangan ahli keluarga pada pertengahan Ramadhan... Ramadhan terakhir bersama ibu mertua saya pada tahun 2009 merupakan memori yang menyedihkan...
Ada masanya arwah ibu mertua yang dikasihi, akan datang juga ke Kl, apatah lagi semua anak-anaknya betada di sini. Kebetulan arwah mak berada di sini pada awal Ramadhan pada tahun 2009, kebetulan pula selepas bermula Ramadhan beberapa hari, cuti penggal persekolahan akan bermula. Kebiasaannya arwah lebih suka berpuasa di rumah sendiri di JB. Lagipun arwah rajin sekali menyediakan kuih muih yang berupa biskut dan kek untuk anak-anaknya. Setiap orang anak mempunyai biskut kegemaran masing-masing yang pasti disediakan setiap tahun. Dan saya serta suami menghantar mak balik ke JB setelah cuti bermula. Dan kami menghabiskan beberapa hari di sana, hampir setiap petang ada masanya ke bazar Ramadhan Kempas sekadar mencari kuih muih.
Malam terakhir di sana, kami ke Danau Bay, saya sendiri memesan laksa kedah yang sedap sekali (pelik juga, laksa kedah yg sedap dimakan di JB), tetapi arwah hanya memesan secawan milo panas (kebetulan, sudah hampir tengah malam) Dalam perjalanan pulang, saya ternampak macam gerai di sana (di seberang jalan Danau Bay) terdapat bazaar ramadhan.. jadi saya memberitahu arwah, "Tahun depan kita datang mak." Tidak saya ketahui, Ramadhan itu, kali terakhir menyambutnya dengan arwah.
Pada tahun itu, saya menyambut Syawal bersama keluarga saya di Langkawi. Disebabkan tempat kami di penghujung dunia, saya di tempat paling utara di Semenanjung Malaysia (Langkawi) dan suami pula tempat penghujung di selatan Tanah Air, JB, kami terpaksa bergilir dengan balik hanya satu rumah setiap kali hariraya. Inilah pengorbanan, toleransi yang harus dibayar setiap kali berhari raya. Kampung halaman masing-masing terllau jauh dan memenatkan untuk pulang ke dua-dua tempat sekaligus! Kebetulan, pada tahun saya berkahwin, tahun 2000, saya masih tinggal bersama keluarga saya di Langkawi, saya merayakan hariraya sebagai suami isteri di JB. Bermakna, setiap kali tahun genab saya akan merayakan di JB dan tahun ganjil di Langkawi. Dan pada tahun 2009, jatuh kepada tahun ganjil, jadi saya menyambutnya di Langkawi.
Nampaknya kami bukan sahaja tidak dapat menyambutnya dengan menikmati masakan air tangan seorang ibu, malah, memori itu kadang kalanya menyedihkan juga! Kata-kata arwah setiap kali bertemu, dijadikan azimat, "SOLAT, SABAR DAN SYUKUR, pasti ALLAH AKAN MEMBERIKAN LEBIH LAGI." Dan kata-kata Arwah Hajjah Fatimah Haji Omar sentiasa ada kebenarannya. Al Fatihah!
No comments:
Post a Comment