Petang tadi apabila adik angkat saya Dina menelefon, terpandang sahaja muka telefon yang berdering; hati saya sudah berdebaran... biasanya kalau hal-hal yang kurang penting; dia akan bersms, atau sekadar berfacebook. Andai saya perlu pendapatnya pun, saya akan menelefon dia, bukan sebaliknya. Hati cepat berkata, pasti ada berita baik atau berita yang kurang menyenangkan. Dan pastinya, kalau ada berita baik, sudah pasti saya sudah lama boleh 'menghidunya'.
Debaran itu ada betulnya. Diberitahu, ibunya baru sahaja pulang ke Rahmatullah. Selepas mengucapkan
innalillahiwa innailai hirojiun... saya terkedu sekejap dan sempat bertanya balik; "abang, ada di sana, Dina dengan siapa?" Katanya, adiknya ada bersama. Abangnya sudah diberitahu. Saya tidak bertanya banyak; mendengur sendu dan sedunya cukup menjadikan mata saya berkaca, airmata menitik laju.Saya hanya memintanya bersabar. Apa lagi yang boleh dikatakan. Kepala ligat berfikir, sewajarnya saya ke rumahnya malam ini juga, secepatnya tetapi saya perlu mengajak suami atau kawan ke sana; selain tidak pasti jalan; bimbang juga, andai tersesat pada malam-malam hari ini. Setelah berbincang dengan suami, yang tidak dapat menemani saya ke sana malam ini, juga setelah menelefon kawan rapat yang tidak juga mempunyai masa luang sebab perlu menyelesaikan hal-hal peperiksaan SPM; saya akhirnya terpaksa akur akan ke sana esok pagi setelah pasti ke mana arah saya harus pergi esoknya, pastinya dengan seorang murid yang rapat dengan saya; untungnya dia sedia menemani saya. Terima kasih Fikah; semudah berkata a..b..c apabila ditanya.
Dina dan adik-adiknya sudah lama kehilangan ayahnya, sejak dia masih di sekolah lagi; jadi saya pasti kehilangan ibu akan amat dia rasai juga. Belum berkeluarga, mahupun berumahtangga; pasti kehilangan itu akan terasa amat sangat. sempat saya menelefon dia kembali sejam selepas itu, memastikan abangnya sudah besama mereka , dan bilakah arwah akan disemadikan. Sekadar memintanya bersabar; dan apa lagi ayat yang terbaik untuk dikatakan... sendu kami bercampur, antara pemberi nasihat dan penerima nasihat. Kesedihan yang berkongsi! Semoga dia diberi ketabahan yang berlipat kali ganda. Kesedihan itu masih boleh saya rasa getarannya saat ibu mertua saya dijemput Ilahi dua tahun yang lepas. Dan memahami saat-saat kesedihan itu. Barangkali sekadar melambai di hentian bas, kereta api, kereta, kapal terbang tidak akan begitu menyedihkan di saat mengiringi orang yang kita kasihi di pusara! Di tempat lain, andai ada kesempatan, pasti akan bertemu lagi. Di pusara, itulah 'lambaian' terakhir. hanya doa anak-anak yang soleh, doa kaum keluarga yang akan terus mengiringi di 'sana'.
Al fatihah; kehilangan itu memang melukakan... memang sendu dan sedu.. tetapi kita perlu merelakan.
No comments:
Post a Comment