Walaupun saya sebenarnya bukanlah penggemar novel. Saya hanya menjadi peminat novel sekitar usia awal dua puluhan, barangkali banyak masa lapang dan banyak cuba mendapat 'feel' bercinta. Selepas berkahwin, lagilah tiada masa. Dan sekarang, banyak tumpuan dan masa saya dihabiuskan dengan kerjaya, rumahtangga dan research untuk penulisan. Namun nama Puan Norhayati Berahim adalah nama yang saya kenali. Pernah membaca buku novelnya, dan tidak menyangka begitu banyak sekali novel yang pernah ditulisnya. Saya sekadar pernah membaca beberapa buah sahaja.
Petikan Metro“Bukan gelaran atau anugerah dimenangi yang dinilai sebagai bukti kejayaan seseorang penulis itu. Kadangkala buku laris yang ada di pasaran amat menyedihkan, penuh dengan tulisan ‘sampah’, tatabahasa yang tunggang-langgang atau cerita khayalan kahwin paksa.
“Bagaimana mahu mendidik pembaca kalau kita sebagai penulis mengajar pembaca dengan cerita khayal yang begitu memualkan. Senario ini sering membuat saya terfikir, ke mana arah penulisan kita satu hari nanti?
“Penulis pula berbangga kerana buku mereka laris sedangkan tanpa sedar, mereka memberi kerosakan pada arah tuju penulisan tanah air,” katanya. (Puan Norhayati )
Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Puan Norhayati. Sebagai penulis, bukanlah anugerah atau gelaran yang meletakkan penulis sebagai idola dalam mendidik masyarakat. Kita tidak boleh meletakkan kisah khayalan yang memualkan semata-mata. Novel biarlah memberi pendidikan kepada pembaca. Konsep K-novel (knowledge novel) ingin saya terapkan dalam setiap novel saya, Insya_Allah.
“Saya amat pantang pada orang yang tidak suka membaca. Membacalah walau bungkusan nasi lemak yang sedang kita makan, mungkin dari situ dapat kita kutip sesuatu,” katanya. (Puan Norhayati)
Saya menyokong penuh apa yang dikatakan Puan Norhayati. Tanpa pembaca, ceteklah ilmu. Saya dapat merasakan sejak menjadi penulis, saya lebih kerap membaca, kerana saya memerlukan informasi dalam menghasilkan penulisan saya. Saya tidak mahu sekadar menghidangkan cerita tanpa maklumat dan informasi. Pada saya, menghasilkan uku tanpa info seumpama hanya memakan nasi tanpa hidangan lauk.
Petikan Harian Metro 4.10.2010
Peminat bagaikan sahabat
Teks dan gambar Kusyi Hirdan
kusyihirdan@gmail.com
kusyihirdan@gmail.com
Ada yang menyangka dia sudah semakin sepi, ternyata tanggapan itu salah sama sekali. Dunia penulisan dan ibu kepada seorang anak ini ibarat irama dan lagu, yang tidak dapat dipisahkan selagi hayat dikandung badan.
“Betul, penulisan seperti sudah menjadi darah daging saya. Umpama makanan yang harus dikunyah dan ditelan setiap hari.
“Ia menjadi sumber kekuatan saya untuk bergerak dan terus hidup. Saya harus menulis kerana jika berhenti, seolah-olah jiwa ini sudah mati.”
Begitu kata penulis kelahiran Melaka ini apabila ada yang mengatakan dia sudah memperlahankan rentak, tidak selaju pada awal kemunculannya dulu. Sehingga kini, buku pertama yang diterbitkan syarikat NB Kara masih diulang cetak dan sudah dicetak sebanyak 15 kali manakala purata bukunya diulang cetak melebihi 10 kali.
Begitu banyak novel yang ditulis, mana satu paling disayangi?
Bagi Norhayati, semua istimewa di hati dan setiap satu memberi kesan yang tersendiri dalam hatinya.
“Cuma novel Cinta Dan Cita ditulis melalui pengalaman sendiri jadi ia berbekas di hati sehingga kini. Ingat lagi ketika ia diterbitkan pada 1992 dahulu, rasa seronok sangat dan ketika itu langsung tidak memikirkan ganjaran.
Seperti kebanyakan insan seni lain, kematangan diri akan mempengaruhi hasil kerja mereka. Norhayati juga melalui fasa hidupnya sendiri.
“Bukan hanya saya sahaja yang matang tetapi juga pembaca saya. Kalau dahulu menulis hanya mengikut gerak hati, sekarang harus difikir dari pelbagai sudut. Apa kesan pada pembaca? Apa ilmu yang harus disampaikan? Ini kerana kita harus bertanggungjawab dengan apa yang ditulis.
“Satu perkataan kadangkala boleh membawa satu kerosakan yang cukup besar dan kadangkala satu perkataan juga boleh membawa kebaikan. Syukur dan rasa terharu, pembaca dan sahabat suka dengan setiap perubahan dan cerita yang dibawa,” katanya.
Pengikut novel Norhayati ramai yang teruja dengan novel terkini, Layang-Layang Bertali Kaca kerana ketebalannya, 925 muka surat.
“Ini bukan pembaharuan tetapi saya memang sudah biasa menulis banyak karakter dan dari situ, plot yang mahu dikembangkan juga banyak dan menarik,” balas Norhayati yang gembira dengan sambutan peminatnya.
Penulis ini sebenarnya mempunyai ribuan peminat setia sejak 18 tahun lalu dan mereka datang daripada pelbagai peringkat usia, bangsa dan gender. Bukan hanya wanita, lelaki juga menjadi pengumpul setia setiap novelnya.
Bagaimana hubungan yang terjalin antara novelis dan peminat yang sekarang kebanyakannya berkumpul di laman sosial facebook untuk mengetahui perkembangan terkininya?
“Saya tidak pernah menganggap mereka peminat, sebaliknya sahabat. Merekalah yang saya selalu cari untuk diajak berbincang isu semasa. Persahabatan kami berlangsung penuh keikhlasan.
“Daripada mereka kadangkala saya mendapat idea. Saya tidak begitu suka menganggap pembaca novel saya sebagai peminat kerana keadaan itu membuatkan perasaan kita ada batasnya. Tetapi kalau sahabat, perasaan itu lebih meluas. Ikhlas dan jujur makin mengeratkan hubungan,” katanya.
Pada ulang tahun hari lahirnya, begitu banyak kek yang dihantar peminat, begitu juga ketika hari raya. Malah, ada yang sejauh Sarawak mengirim kuih raya dan kek lapis tanda ingatan. Semuanya membuatkan hati Norhayati tersentuh dan terharu.
Sejak dari awal pembabitannya, sahabat dan peminat novelnya adalah penyuntik semangat paling utama.
“Mereka banyak memberi saya kekuatan. Apabila mendengar novel baru saya akan diterbitkan, ada yang datang ke pejabat mahu membeli sedangkan novel masih lagi di dalam pencetakan. Walaupun ada yang saya tidak kenal rapat, saya amat menghargai mereka,” katanya.
Bagi Norhayati, kejayaan seseorang penulis dinilai dengan sudut yang meluas sekali.
“Bukan gelaran atau anugerah dimenangi yang dinilai sebagai bukti kejayaan seseorang penulis itu. Kadangkala buku laris yang ada di pasaran amat menyedihkan, penuh dengan tulisan ‘sampah’, tatabahasa yang tunggang-langgang atau cerita khayalan kahwin paksa.
“Bagaimana mahu mendidik pembaca kalau kita sebagai penulis mengajar pembaca dengan cerita khayal yang begitu memualkan. Senario ini sering membuat saya terfikir, ke mana arah penulisan kita satu hari nanti?
“Penulis pula berbangga kerana buku mereka laris sedangkan tanpa sedar, mereka memberi kerosakan pada arah tuju penulisan tanah air,” katanya.
Ditanya mengenai penulisan sebagai periuk nasi utama, bagi Norhayati, hendak seribu daya. Tuah tidak bergolek, sebaliknya mesti disertakan usaha yang keras dan sentiasa bersyukur pada nikmat yang Allah kurniakan. Tidak dinafikan, dia berjaya mengumpul harta dan hidup selesa dengan hasil menulis buku.
“Insya-Allah, penulis boleh hidup senang dengan menjadikannya kerjaya dengan syarat dia perlu berdedikasi dan mempunyai niat yang tulus ikhlas untuk menulis.
“Setiap kali menulis, saya akan fikirkan mesej yang harus disampaikan kepada pembaca. Niat kita harus fokus. Bukan kerana glamor atau imbuhan tetapi kerana minat dan menyampaikan mesej.
“Jangan lupa berdoa kepada Allah supaya idea kita tidak putus. Berusaha keras, jangan mengalah dan material akan datang kemudian, Insya-Allah,” katanya.
Sebagai veteran dalam bidang ini, Norhayati berharap, penulis baru jangan malas atau mencari jalan mudah tatkala menghasilkan karya.
“Ada yang memberitahu mahu menjadi penulis novel seperti saya tetapi apabila ditanya, dia tidak pernah membaca novel saya pun. Dia mahu menjadi penulis seperti saya kerana sering melihat novel saya di rak buku di kedai.
“Saya amat pantang pada orang yang tidak suka membaca. Membacalah walau bungkusan nasi lemak yang sedang kita makan, mungkin dari situ dapat kita kutip sesuatu,” katanya.
Namun, Norhayati tidaklah mengatakan penulis novel perlu berpendidikan tinggi walaupun ia adalah bonus yang membantu.
“Bagi saya, pendidikan di atas kertas tidak perlu. Ilmu di mana-mana boleh didapati, begitu juga pengetahuan. Membaca dan mengembara adalah dua keperluan yang cukup tinggi dalam penulisan.
“Bahkan seorang penulis perlu mengkaji teknologi dan harus tahu perkembangannya setiap masa kerana teknologi bergerak pantas. Mungkin 10 tahun lalu, teknologi itu wujud tetapi sekarang sudah lupus, jadi teknologi terkini perlulah dipelajari,” katanya.
Menurut Norhayati lagi, ramai juga yang tergopoh-gapah untuk naik menjadi penulis dan tidak bersedia. Apabila tidak bersedia dari segi mental, maka mudah berputus asa.
Ada juga yang menyangka populariti boleh menjadikan buku tulisan mereka laku sedangkan ada penulis yang tidak begitu dikenali rupa parasnya tetapi begitu dikenali hasil tulisannya. Malah, mereka turut dijadikan contoh oleh penulis lama dan baru.
“Saya lihat, ada juga yang terlalu mengejar glamor. Mereka sangka menjadi penulis itu glamor. Tidak sesekali, kalau itu tanggapannya, percayalah, lambat atau cepat, anda akan gagal,” katanya.
Nyata, Norhayati tegas dalam menggariskan ciri-ciri menjadi seorang penulis. Sekiranya anaknya sendiri, Qaisara Seyit Kara, 4, kelak mahu berkecimpung di bidang sama, dia amat mengalu-alukannya.
“Cuma, saya akan tekankan pada dia menulis bukan untuk glamor. Dia harus mempunyai ilmu untuk menulis, bukan sekadar penulisan kosong membelai dan mempermain jiwa. Dia harus rajin memerhati, membaca, meneliti dan berfikir dengan secara kritis dan kritikal.
“Tetapi kalau boleh saya mahu dia menghafaz al-Quran seperti bapa saudaranya seorang hafiz,” katanya.
Bidang penulisan adalah bidang yang sangat berisiko dan tiada jaminan pasti. Sebab itu kata Norhayati, sekiranya di peringkat awal, jangan terlalu mengharap imbuhan. Imbuhan akan mula kita nampak selepas buku ketiga dan seterusnya.
“Sekarang ramai yang menelefon ke syarikat saya mahu menghantar manuskrip dan belum manuskrip dihantar sudah bertanya pasal royalti. Bukan tidak boleh bertanya tetapi kadang-kadang mereka menyangka akan cepat mendapat duit dengan menulis sebuah novel.
“Apabila dijelaskan royalti hanya dapat diberi selepas enam bulan atau setahun buku itu dipasarkan, ramai yang kecewa. Tetapi itulah hakikat dalam dunia penerbitan yang sebenarnya. Sebab itu, saya katakan, penulis perlu bersedia secara mental, hadiri kursus penulisan yang boleh memberi kita banyak
input dan perkongsian ilmu,” katanya.
Ada penulis baru yang tertekan kerana tidak mendapat sokongan daripada ahli keluarga mereka tetapi bagi Norhayati, itu bukan masalah besar.
“Sokongan keluarga saya biasa saja, ada yang tidak membaca pun karya saya kecuali seorang kakak bernama Mijah, seorang guru. Dia akan membaca setiap buku dan mengulas serta memberi komen mengenainya.
“Mungkin kami berkongsi minat yang sama, dia pernah menulis dan beberapa karya tersiar di Radio Malaysia Melaka pada 90-an dahulu.
“Penulis harus dikenali melalui penulisannya dan kerana itu dia digelar penulis atau novelis. Pada pendapat saya, penulis tidak sama dengan golongan pelakon atau penyanyi, maka tidak perlu pakej cantik atau menarik tetapi yang perlu adalah ketajaman fikiran dalam menzahirkan ia ke dalam penulisan.
“Peribadi juga harus selaras dengan apa yang kita tulis. Ada sesetengah penulis muda menulis mengenai hadis, menulis buku islamik tapi peribadi tidak berjaga.
“Tetapi ada juga penulis baru yang baik, mahu membaca, mengkaji novel penulis lain, tidak berhenti membaca dan tidak berhenti berusaha.
“Cuma sayang, penulis yang sebegini jarang dipandang,” katanya.
Untuk kekal kukuh di persada dunia penulisan, bukan perkara enteng bagi Norhayati. Dia tidak sepanjang masa bertilamkan ros dan melalui jalan mudah sepanjang masa.
“Cabarannya teramat besar, apatah lagi bila terbabit dalam penerbitan. Saya tidak menghadapi masalah dengan pembaca kerana mereka sentiasa menyokong dan berada di sisi saya susah dan senang.
“Cabaran yang memerlukan kekuatan mental, kesabaran dan kebijaksanaan dalam melaluinya ialah di luar
ruang lingkup penulis dan pembaca. Umpamanya cabaran sesama penulis, pengedar dan kedai buku. Begitu rencahnya apabila kita masuk ke dunia perniagaan,” katanya.
Norhayati menubuhkan Syarikat NB Kara pada 2004 dan katanya, ia lebih kepada kepuasannya sendiri serta mahu melangkah setapak lagi di bidang penerbitan.
“Melalui NB Kara, saya tekad untuk mengeluarkan buku yang bermutu yang boleh dijadikan terapi minda bagi mengatasi lambakan novel yang ditulis hanya semata-mata mengejar keuntungan,” katanya.
Melalui NB Kara, Norhayati menyasarkan untuk menerbitkan 10 hingga 12 novel penulis lain setiap tahun.
“Untuk mendapat manuskrip yang baik amat susah. Saya memang cerewet dalam perkara ini. Terlalu banyak manuskrip yang sampai ke tangan kami tetapi ceritanya hampir sama.
“Putus cinta, kecewa atau kahwin paksa, seperti kelangsungan hidup ini hanya berkisar perkara itu saja. Terlalu luas alam penulisan untuk kita terokai. Semuanya akan datang sekiranya kita rajin membaca dan mencari ilmu sepanjang masa,” katanya yang mengakui akan terus menulis selagi Allah memberikannya idea.
Novel keluaran NB Kara boleh didapati di kedai buku seluruh negara termasuk rangkaian Kinokuniya dan MPH.
PROFIL
NAMA: Norhayati Berahim
TARIKH LAHIR: 26 Mac 1966
ASAL: Bukit Katil, Melaka
KELULUSAN: Bacelor Sains Pembangunan Manusia, Universiti Putra Malaysia
HOBI: Mengembara, membaca dan menanam bunga
NOVELIS KEGEMARAN: Arenawati
SUAMI: Seyit Kara, 53 (berasal dari Turki)
ANAK: Qaisara Seyit Kara, 4 tahun
******************************
Walaupun saya sebenarnya bukanlah penggemar novel. Saya hanya menjadi peminat novel sekitar usia awal dua puluhan, barangkali banyak masa lapang dan banyak cuba mendapat 'feel' bercinta. Selepas berkahwin, lagilah tiada masa. Dan sekarang, banyak tumpuan dan masa saya dihabiuskan dengan kerjaya, rumahtangga dan research untuk penulisan. Namun nama Puan Norhayati Berahim adalah nama yang saya kenali. Pernah membaca buku novelnya, dan tidak menyangka begitu banyak sekali novel yang pernah ditulisnya. Saya sekadar pernah membaca beberapa buah sahaja.
“Bukan gelaran atau anugerah dimenangi yang dinilai sebagai bukti kejayaan seseorang penulis itu. Kadangkala buku laris yang ada di pasaran amat menyedihkan, penuh dengan tulisan ‘sampah’, tatabahasa yang tunggang-langgang atau cerita khayalan kahwin paksa.
“Bagaimana mahu mendidik pembaca kalau kita sebagai penulis mengajar pembaca dengan cerita khayal yang begitu memualkan. Senario ini sering membuat saya terfikir, ke mana arah penulisan kita satu hari nanti?
“Penulis pula berbangga kerana buku mereka laris sedangkan tanpa sedar, mereka memberi kerosakan pada arah tuju penulisan tanah air,” katanya. (Puan Norhayati )
Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Puan Norhayati. Sebagai penulis, bukanlah anugerah atau gelaran yang meletakkan penulis sebagai idola dalam mendidik masyarakat. Kita tidak boleh meletakkan kisah khayalan yang memualkan semata-mata. Novel biarlah memberi pendidikan kepada pembaca. Konsep K-novel (knowledge novel) ingin saya terapkan dalam setiap novel saya, Insya_Allah.
“Saya amat pantang pada orang yang tidak suka membaca. Membacalah walau bungkusan nasi lemak yang sedang kita makan, mungkin dari situ dapat kita kutip sesuatu,” katanya. (Puan Norhayati)
Saya menyokong penuh apa yang dikatakan Puan Norhayati. Tanpa pembaca, ceteklah ilmu. Saya dapat merasakan sejak menjadi penulis, saya lebih kerap membaca, kerana saya memerlukan informasi dalam menghasilkan penulisan saya. Saya tidak mahu sekadar menghidangkan cerita tanpa maklumat dan informasi. Pada saya, menghasilkan uku tanpa info seumpama hanya memakan nasi tanpa hidangan lauk.
No comments:
Post a Comment